QA. Dikuasakan oleh Blogger.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Muslimah yang solehah itu umpama ANGIN yang lalu, mereka hadir tanpa disedari, tetapi kehadiran mereka itu mendamaikan hati

 
7 September 2010

Asiah dan Masyitah :Tuan dan Hamba yang ke Syurga

Ada satu kesilapan besar di situ dan kesilapan itu adalah Masyitah ialah tukang sikat rambut permaisuri Firaun.Sebenarnya,Masyitah ialah tukang sikat rambut anak Firaun.Dan untuk pengetahuan anda semua,walaupun Asiah adalah permaisuri Firaun,Asiah tidak pernah ditiduri Firaun walaupun sekali sepanjang dia menjadi permaisuri Firaun.Untuk tahu lebih lanjut tentang dua insan ini,jom kita hayati kisah di bawah.


Asiah-Pemegang Mahkota Terpuji

Tengah Asiah hidup dengan tenang bersama keluaranya menyembah Allah, mereka dikejutkan dengan utusan daripada Firaun yang bernama Haman dengan hajat untuk menyatukan Asiah dengan Firaun.Asiah berasal daripada kaum Imran(mungkin keluarga nabi Musa kerana nama ayah nabi Musa Imran,tapi ana tidak dapat pastikan hal ini),orangnya manis dan cukup terkenal dengan kejelitaannya.Dia juga merupakan seorang yang beriman kepada Allah sebelum nabi Musa diutuskan.

“Bagaimana sanggup saya mengahwini Firaun yang terkenal dengan kekejamannya?Bahkan dia tidak tunduk kepada Allah?”Soal Asiah kepada Haman sewaktu Haman cuba mendapat jawapan daripadanya.

Haman pulang dengan hati yang cukup risau,apakah yang akan dilakukan oleh Firaun kepada Asiah selepas dia mendengar kata-kata yang dicampakkan ke atasnya sebentar tadi.Ternyata sangkaannya tepat,Firaun menyiksa keluarga Asiah. Ibu bapa Asiah dihumban ke dalam penjara dan diseksa tetapi Asiah dibiarkan hidup senang dengan harapan timbul rasa menyesal di dalam hati Asiah.

Strategi Firaun belum selesai,dia adalah seorang yang tidak akan berpatah balik setelah melakukan sesuatu keputusan. Dia sudah membulatkan tekadnya untuk berkahwin dengan Asiah walau dengan apa-apa cara sekalipun.Lalu dia bawa Asiah berjumpa dengan ibu bapanya yang sedang diseksa dalam penjara dan berkata, “Wahai Asiah!Jika kamu adalah anak yang baik,kasihanilah kedua-dua ibu bapa mu ini.Aku memberimu 2 pilihan,berkahwin dengan aku dan aku bebaskan ibubapa mu atau sebaliknya tetapi ingat,kamu akan terima padahnya.”

Asiah ialah seorang anak yang solehah,dia tidak sampai hati untuk melihat kedua-dua ibu bapanya diseksa dalam penjara.Namun,dia harus bijak membuat pilihan.Ini bukan soal hidup dan mati tapi ini soal iman dan kufur. Setelah lama berfikir,dia memberi jawapan kepada Firaun.

“Saya akan berkahwin dengan anda cuma jika anda bersetuju dengan syarat-syarat yang saya tetapkan.”Jawab Asiah.

“Baiklah,apa syarat-syaratnya?”Soal Firaun.

“Anda harus membebaskan ibu dan bapa saya,menyediakan kemudahan untuk mereka hidup dan menjaga mereka sehingga mereka mati. Saya juga akan menjadi isteri anda hanya untuk menghadiri majlis-majlis sahaja dan saya tidak akan meniduri anda.”Terang Asiah yang bijaksana.

“Baiklah,”jawab Firaun,ternyata Firaun akan berbuat apa sahaja untuk mencapai matlamatnya.

Mereka pun berkahwin dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Asiah. Selepas perkahwinannya,Asiah tetap beriman kepada Allah dan selalu berdoa supaya kesuciannya terjaga daripada suaminya yang dilaknat. Allah makbulkan doanya dengan menghantar jelmaan Asiah kepada Firaun. Walaupun Asiah membenci suaminya,Asiah tetap memberi yang terbaik untuk suaminya sehingga dia sangat disayangi oleh Firaun. Kasih dan sayang Firaun kepadanya terbukti apabila Firaun mendirikan sebuah istana khas untuk Asiah di tepi sungai Nil.

Suatu hari Asiah diberitahu oleh dayang-dayangnya bahawa mereka terjumpa bayi lelaki di dalam sebuah bekas yang hanyut di sungai Nil. Asiah mengambil bayi itu sebagai anak angkat walaupun Firaun cuba membunuhnya. Bayi itu membesar dan menjadi seorang nabi,Musa bin Imran.

Rencana Allah cukup sempurna,nabi Musa melarikan diri ke padang pasir setelah dikejar oleh Firaun kerana membunuh seorang daripada kaum Firaun. Asiah tahu pemergian Musa ini tidak akan lama dan dia akan kembali dengan satu berita yang menggembirakan.

Nabi Musa pun kembali kepada kaumnya dengan berita yang sangat gembira, berita tentang dia adalah utusan Allah. Asiah dan dayangnya,Masyitah mengaku beriman kepada Musa dan Tuhan Musa. Setiap kali Musa menghadap Firaun untuk menyeru Firaun menyembah Allah,Asiah berada di sampingnya memberi semangat kepada anak angkatnya itu.

Keimanan Masyitah pun terbongkar. Masyitah dijatuhkan hukuman mati. Tindakan Firaun itu menyebabkan Asiah sudah tidak tahan lagi. Asiah pun mencela Firaun dan dia ditangkap dan dipenjarakan. Makanan dan minuman disekat daripada sampai kepadanya. Akhirnya,dia meninggal di dalam penjara dengan mulutnya tidak berhenti memuji Allah. Dialah Asiah,Ratu Syahadah.

Masyitah-Wangian Dari Syurga

Semasa Rasulullah berisrak Mikraj,nabi lalu satu kawasan yang berbau sangat wangi. Lantas nabi bertanya kepada Jibrail mengapakah tempat itu berbau sangat wangi. Lalu Jibril memberitahu nabi bahawa mereka sedang melintasi kubur Masyitah. Kenapakah kubur insan bernama Masyitah ini sangat wangi?

Kisahnya begini,dakwah nabi Musa sampai kepada keluarga Masyitah,lalu Masyitah dan suaminya Hazaqil beriman kepada nabi Musa. Keimanannya ini disembunyikan lantaran pekerjaannya sebagai tukang sikat rambut anak Firaun dan suaminya pula orang kuat Firaun. Sebelum Firaun memutuskan apa-apa keputusan,Firaun akan meminta pendapat daripada Hazaqil dan ditakdirkan Allah,suatu hari seorang ahli sihir yang menyokong Firaun telah memeluk agama nabi Musa. Seraya Firaun pun menjatuhkan hukuman mati ke atasnya tetapi keputusan Firaun ini ditentang hebat oleh Hazaqil. Maka berlakulah satu perselisihan pendapat yang sangat besar sehingga keimanan Hazaqil terbongkar dan dia juga dijatuhkan hukuman mati.

Pemergian suami tercinta memberi tamparan hebat kepada Masyitah. Hari-harinya seperti sudah tiada makna lagi tapi disebabkan keimanannya kepada Allah, dia tempuhi hari-harinya dengan hati yang tersangat berat. Puas dia cuba menahan mulutnya daripada meluahkan isi hatinya kepada orang lain namun perkara hati siapa yang dapat tentang? Ditakdirkan Allah,setiap kedukaan dan kesedihannya itu dikongsi dengan Asiah,Isteri Firaun yang sangat disayangi Firaun. Sewaktu itu,Masyitah belum tahu bahawa Asiah juga beriman kepada Allah.

Huruf demi huruf,perkataan demi perkataan keluar daripada mulut Masyitah sehingga tiada lagi rahsia untuk dia simpan. Kisah dia beriman kepada Musa juga diceritakan. Sewaktu terlepas cakap,ada juga rasa gerun di hati tapi dia cuba untuk bertenang. Tapi rancangan Allah,siapa yang dapat duga?Asiah juga mengaku bahawa dia beriman kepada Allah.

“Aku mengaku bahawa tiada Tuhan selain Allah,Musa pesuruh Allah dan celakalah Firaun dan pengikut-pengikutnya.”Ujar Asiah.

“Tetapi,bukankah puan meniduri Firaun?”Soal Masyitah.

“Tidak,demi Allah,aku tidak pernah meniduri Firaun walaupun sekali. Apa yang kau lihat bukanlah aku tetapi jelmaan Iblis yang menyerupai aku,” terang Asiah.

Mendengarkan pengakuan daripada Asiah,Masyitah cukup gembira dan mereka menjadi teman rapat.

Suatu hari,ketika Masyitah sedang menyikat rambut anak Firaun hasil dari permaisuri yang lain,sikat yang dipegang Masyitah terjatuh.Secara tidak lansung Masyitah menyebut, “Segala puji bagi Allah dan celakalah Firaun.”

Anak Firaun mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Masyitah,lantas dia berlari ke arah Firaun dan melaporkannya. Firaun memanggil Masyitah dan menyoal Masyitah adakah benar apa yang dilaporkan oleh anaknya. Masyitah menjawab, “ya Tuanku,aku berkata sedemikian.” Lalu Firaun menyuruh pengawalnya menyediakan satu bekas yang besar yang diisi dengan minyak dan bekas itu dipanaskan sehingga minyak itu mendidih.

Seluruh penduduk padang pasir dikumpulkan untuk menyaksikan kehebatan Firaun. Tatkala manusia semua berkumpul dan memberi perhatian kepada Masyitah yang berada di tengah-tengah,soalan diulang sekali lagi. Adakah Masyitah ingin menarik balik kata-katanya, jika tidak,dia dan 2 orang lagi anaknya yang masih di bawah susuannya akan dihumban ke dalam minyak yang menggelegak. Masyitah dengan tegasnya menyatakan pendiriannya untuk beriman kepada Musa dan Tuhannya. Namun,naluri keibuan diuji apabila dia melihat anak-anaknya yang masih kecil,terlintas juga di hatinya untuk menurut kata Firaun.

Allah mengetahui isi hati hamba-hambanya,lalu satu keajaiban besar pun berlaku. Anak yang masih kecil,yang masih di bawah susuannya pun berkata-kata, “jangan bimbang ibuku kerana Allah telah menjanjikan kepada kita ganjaran yang hebat. Pintu syurga sedang terbuka luas menanti kedatangan kita.”

Mendengar butir-butir kata yang keluar daripada anak yang tidak boleh bercakap itu,Masyitah yakin dengan pendiriaannya. Dia berjalan maju ke hadapan dan terjun ke dalam minyak yang menggelegak. Seluruh penduduk Mesir menyaksikannya. Alangkah terkejutnya mereka apabila keajaiban kedua berlaku.Minyak yang menggelegak tadi bertukar menjadi haruman yang tersangat wangi di zaman itu. Itulah haruman Masyitah,si penagih cinta Ilahi.


Akhir Qalam

Sejarah bukanlah untuk diceritakan tetapi untuk dihayati supaya yang baik dapat diambil dan yang buruk dapat dijauhi. Kisah ini bukanlah satu kisah dongeng yang dicipta untuk menidurkan kanak-kanak tetapi kisah ini merupakan satu kisah yang nyata untuk kita dan kanak-kanak. Supaya iman di dalam hati digilap dan bersinar kembali. Harap-harap,kubur kita harum semerbak bak kubur Masyitah dan mahligai kita gah bak mahligai Asiah. Insya Allah…..

0 tautan:

Updates Melalui E-Mail