QA. Dikuasakan oleh Blogger.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Muslimah yang solehah itu umpama ANGIN yang lalu, mereka hadir tanpa disedari, tetapi kehadiran mereka itu mendamaikan hati

 
26 Ogos 2011

Fasal Terakhir



10 Malam Terakhir sudah menjengah.

Yang menjadikan 10 malam terakhir Ramadhan kali ini amat dikejari adalah kewujudan Lailatul Qadr. Satu malam yang istimewanya melebihi 1000 bulan. Ia bukannya sama dengan seribu bulan. Tetapi jauh lebih baik lagi.

Allah SWT sendiri mengisytiharkan sedemikian dalam firman-Nya:

"Sesungguhnya Kami menurunkannya di dalam malam Al-Qadr, dan adakah kau tahu apa itu Malam Al-Qadr? Malam Al-Qadr itu lebih baik dari sebulan bulan. Pada malam itu turunlah para malaikat, dan Ruh(Jibril) dengan izin Tuhan mereka untuk segala urusan. Sejahteralah malam itu sehingga terbitnya fajar." 
(Surah al-Qadar: Ayat 1-5)

Ini menyebabkan ramai yang teruja dengan Lailatul Qadr. Hendak ibadahnya dikira seakan-akan dia beribadah lebih dari 1000 bulan. Hendakkan dirinya terampun dan sebagainya.

Tetapi, bila dilihat-lihat kembali, seakan wujud satu lawak di dalam hal Lailatul Qadr orang kita.

Lailatul Qadr kamu, Lailatul Qadr aku


"Semalam Lailatul Qadr la."

"Eh, mana ada. Seingat aku dua hari lepas la."

"Ya Allah, sungguh, aku nampak tanda-tandanya."

"Mustahil lah. Dua hari lepas tu aku nampak tanda-tandanya, jelas sangat."



Mungkin ini antara perbualan yang anda akan dengari sekiranya anda kaki mendengar perbualan orang. Saya apabila mendengar perbualan ini dari rakan-rakan saya, saya hanya tersengih sahaja.

Boleh pula seorang kata lailatul qadr malam ini dan seorang lagi kata dua hari lepas. Mengapa ya?

Jawapannya mudah, seorang bangun qiamullail malam tadi, manakala seorang lagi bangun qiamullail dua hari lepas. Sedangkan pada dua hari lepas, yang berqiamullail hari ini tidak bangun, manakala pada hari ini, yang berqiamullail dua hari lepas tidak bangun.

Maka jadilah lailatul qadr kamu, dan lailatul qadr aku.

Masing-masing nak mengaku dirinya mendapat lailatul qadr, pada hari dia bangun.

Mencari, bukan menunggu

Rasulullah SAW dalam mengejar Lailatul Qadr telah menyatakan dengan jelas di dalam sabda baginda:

"Carilah Malam Al-Qadr itu pada malam ganjil ketika 10 malam terakhir." 
Hadith Sohih riwayat Bukhari.

Rasulullah SAW dengan terang dan jelas menyatakan: "Carilah"

Tiada perkataan 'menanti' atau 'menunggu' atau mana-mana yang sekaum dengannya.

Dan mencari ini adalah bukan dengan 'menunggu' petanda pelik-pelik seperti pokok sujud, langit terang, dan sebagainya. Mencari di sini adalah dengan kita bersungguh-sungguh mengisi 10 malam terakhir itu dengan ibadah kepada Allah SWT.



Hikmah disembunyikan Lailatul Qadr

Apakah hikmahnya Allah SWT menyembunyikan malam yang hebat penuh barakah ini? Yang Rasulullah SAW sabdakan sebagai:

"Barangsiapa yang mendirikan malam Al-Qadr dengan penuh keimanan dan berkira-kira, nescaya akan diampunkan buatnya segala dosanya." 
Hadith riwayat Bukhari.

Hikmahnya adalah tersembunyi di dalam ayat berikut:

"Adalah untuk melihat, di manakah antara kamu yang terbaik amalannya." 
(Surah al-Mulk: Ayat 2)

Lailatul Qadr bukanlah untuk mereka yang bermalas-malasan dan bermain-main dalam beribadah kepada Allah SWT. Bukan untuk mereka yang seakan-akan menanti durian runtuh sambil bergoyang kaki, menanti keampunan Allah dengan sambil lewa. Bukan dan bukan.

Lailatul Qadr adalah rezeki daripada Allah SWT yang diberikan hanya kepada mereka yang berusaha.

Anda bayangkan, bagi mereka yang mendirikan kesepuluh-sepuluh malam terakhir, apakah ada kemungkinan mereka akan terlepas Lailatul Qadr?

Semestinya tidak.

Tetapi untuk yang lip lap lip lap?

Banyak lompong untuk Lailatul Qadr bolos dari pelukan mereka.

Ternyata, Lailatul Qadr hanya untuk hamba Allah yang benar-benar bersungguh berusaha.

Jangan bermimpi hendak mendapatkan syurga dengan bermain-main.

Dan perkara ini jelas menunjukkan kepada kita betapa perkara besar seperti keampunan Allah, rahmat-Nya, syurga-Nya, malam yang lebih baik dari 1000 bulan, bukanlah perkara yang kita boleh dapat dengan bernasib baik seakan-akan bermain loteri.

Tiada orang akan mendapat syurga dengan bermain-main.

Semua mendapatkannya dengan kesungguhan.

Begitulah mahalnya Al-Qadr.

Tidakkah kita memahami?

Dan untuk mereka yang telah berusaha bersungguh-sungguh

"Ala, kalau sungguh-sungguh daripada awal, tapi mungkin nanti malam lailatul qadr tu tertidur ke, kan sia-sia juga."

Mungkin sebahagian kita bagi alasan begitu pula.

Tak mengapa. Terlepas pun tak mengapa kalau kita dah sungguh-sungguh dari awal. Pada saya, orang yang bersungguh-sungguh dari awal, dia nampak kenapa dia beribadah, kenapa dia bersungguh-sungguh. Dia menyembah Allah, mengharap redha Allah. Bukannya dia menyembah lailatul qadr, mengharap redha malam itu kepadanya.

Dan jangan kita pandang enteng rahmat Allah SWT kepada orang yang berusaha mendekati-Nya dengan bersungguh-sungguh. Saya tak pernah rasa, bahawa Allah SWT akan mesia-siakan hamba-hamba-Nya yang bersungguh-sungguh itu. Orang yang bersungguh-sungguh ini, pastinya Allah akan berikan yang terbaik untuk-Nya.


Kalau tak dapat lailatul qadr, tapi dapat redha Allah, dapat pengampunan Allah, bukankah itu sudah dikira kemenangan?


Kalau dapat lailatul qadr, tapi kemudian tetap jadi manusia ingkar, tak ikut peraturan yang Allah tetapkan, maka apakah yang besarnya? Pahala lebih dari 1000 bulan itu, kemungkinan akan susut dengan sikap suka mengumpat, dengan dosa-dosa, dengan menganiaya orang lain dan sebagainya. Dapat lailatul qadr, lepas tak bangun dah qiam pada malam-malam lain. Adakah itu kemenangan?

Sedangkan, kita semua faham bahawa bukanlah lailatul qadr itu yang memberikan pahala. Allah jugalah yang memberikan pahala kepada kita.


Penutup: 
Ramadhan masih belum berakhir
Ramadhan masih belum berakhir. 10 malam terakhir masih belum tamat.
Hidupnya kita lagi pada hari ini tanda Allah masih memberikan peluang kepada kita.
Maka sepatutnya kita tunjukkan kesyukuran kita dengan serius mempertingkatkan amalan.
Apakah kita tidak beriman dengan ayat-Nya?

"Sekiranya kamu bersyukur, maka Aku akan tambahkan(nikmat pemberianKu)." 
(Surah Ibrahim: Ayat 7)

Jadi bergeraklah wahai hamba Allah.
Bergerak merembat segala peluang yang Dia wujudkan untuk kamu hamba-Nya.
Selagi waktu dan nyawa masih ada pada kita.


Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);
(Surah al-Mulk 67: Ayat ke 2)



Sumber Text: Langit Ilahi

0 tautan:

Updates Melalui E-Mail